Uruguay 2 Korea Selatan 1
June 27, 2010 by admin
URUGUAY melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi rancak di Stadium Nelson Mandela Bay, Port Elizabeth sebentar tadi. [VIDEO]
Uruguay mendahului Korea Selatan menerusi gol Luis Suarez pada minit kelapan apabila mudah menampan bola hantaran Diego Forlan ke gawang yang terbuka luas selepas penjaga gol Korea Selatan, Jung Sung-Ryong sudah tertewas.
Sebelum itu, Korea Selatan hampir-hampir mengejutkan Uruguay pada minit kelima selepas sepakan percuma Park Chu-Young dari jarak 25 meter sekadar menggegar tiang gol lawan.
Tersentak dengan gol pendahuluan Uruguay, Korea Selatan kembali memperkemaskan jentera serangan mereka bagi mencari gol penyamaan, namun gagal membuahkan hasil sehingga tamat babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, Korea Selatan dilihat rancak mengatur gerakan serangan ke arah kubu pertahanan lawan dan akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila Lee Chung-Yong menanduk masuk gol hasil sepakan percuma pada minit ke-68.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan, namun kelalaian tonggak pertahanan Korea Selatan membawa padah kepada mereka pada minit ke-80.
Suarez sekali lagi menyerlah menerusi gol keduanya pada minit ke-80 untuk menjadikan kedudukan 2-1 memihak pasukan dari Amerika Selatan itu sekaligus memastikan Uruguay mara ke peringkat lapan pasukan terbaik buat kali pertama sejak 1970.
Di suku akhir, Uruguay akan berdepan pemenang perlawanan Amerika Syarikat-Ghana.
[...] 2 - 1 [...]