Prebiu: Jerman vs Serbia

June 18, 2010 by  

SELEPAS menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia dengan kemenangan membanggakan 4-0 ke atas Australia, Jerman kini perlu lebih berhati-hati apabila menentang Serbia.

“Perlawanan itu menjadi peluang terakhir Serbia untuk terus bersaing di kejohanan ini dan kami perlu lebih berhati-hati dan fokus,” kata penolong jurulatih Jerman, Hansi Flick, mengenai perlawanan malam nanti.

“Australia bukannya kayu pengukur buat kami manakala Serbia pasukan yang bagus dengan kebanyakan pemain mereka beraksi di kelab utama di Eropah. Kami perlu meningkatkan persembahan berbanding dengan apa yang dipamerkan ketika bertemu Australia.”

Serbia pula berdepan dengan dilema berganda dalam perlawanan Kumpulan D itu - pasukan Balkan itu terpaksa menerima hakikat mereka begitu hambar ketika tewas 1-0 kepada Ghana, manakala Jerman berada di tahap terbaik sewaktu menentang Australia yang melonjakkan semangat mereka untuk memburu takhta. Sebarang kekalahan sudah pasti akan menamatkan peluang Serbia untuk mara.

Jurulatih Serbia, Radomir Antic berkata pasukannya hilangan keyakinan akibat aksi pembukaan itu, tapi percaya mampu bangkit untuk perlawanan menentang Jerman.

“Bagi saya, kami akan berdepan pasukan yang menunjukkan bola sepak terbaik setakat ini. Saya kagum dengan persembahan mereka,” kata Antic, kelmarin.

“Kami sedar juara sebenar.” Satu-satunya kemenangan Serbia ke atas Jerman di Piala Dunia dicipta ketika negara itu menjadi sebahagian daripada Yugoslavia yang menewaskan Jerman Barat di suku akhir 1962 di Chile.

“Perlawanan esok (hari ini) boleh dianggap bersejarah buat kami,” kata Antic.

“Jerman menyuntik semangat kami untuk kembali ghairah dan bertenaga. Kami terlalu berhati-hati ketika menentang Ghana dan akibatnya, kami gagal secara mental. Justeru, semua pemain kami perlu meningkatkan persembahan masing-masing.”

Kedua-dua pasukan dijadual berlatih di Stadium Nelson Mandela Bay, semalam tapi FIFA memberitahu kedua-dua pasukan itu yang hujan lebat sejak dua hari ini merosakkan padang dan tidak sesuai untuk latihan diadakan di atas gelanggang yang menjadi venue perlawanan itu.

Sementara itu, pasukan Jerman mengambil keputusan untuk menangguhkan perjalanan mereka. Pemain mereka akan menjalani sesi latihan terakhir berhampiran pangkalan negara itu di luar Pretoria sebelum terbang ke Port Elizabeth, petang semalam dan bukannya, tengah hari, seperti dijadualkan.

Penyerang Serbia, Milan Jovanovic yang akan menyertai Liverpool dari Standard Liege, berkata kekalahan kepada Ghana mengganggu perasaan dan kemenangan besar Jerman ke atas Australia menyebabkan mereka berasa semakin merudum.

“Mereka pasukan terbaik setakat ini,” kata Jovanovic. “Untuk menewaskan mereka, kami perlu memberikan yang terbaik. Kami tidak mahu segala-galanya berakhir hanya selepas dua perlawanan Piala Dunia. Kami perlu lebih berani.”

Pemain tengah Serbia, Gojko Kacar mengambil sikap lebih optimis apabila berkata, pasukannya mampu menyaingi Jerman.

“Tiada pasukan yang hanya ingin melengkapkan jadual. Lihat bagaimana Brazil berhempas pulas ketika menentang Korea Utara,” kata Kacar mengenai kemenangan 2-1 juara lima kali itu ke atas pasukan negara komunis yang kurang dikenali itu.

“Jadi, segala-galanya boleh berlaku.” Jerman pula merangka strategi bagaimana memisahkan penyerang tinggi lampai Serbia, Nikola Zigic dengan menghalangnya daripada menghantar bola kepada rakan sepasukan. Zigic yang mempunyai ketinggian 2.03m itu kerap menanduk bola jauh ke arah rakan sepasukan.

Pemain tengah, Sami Khedira berkata mereka akan mengawasi corak permainan pemain Serbia itu.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!