Prebiu: Itali vs New Zealand

June 20, 2010 by  

KEYAKINAN Itali kelihatan goyah ketika berdepan ancaman New Zealand dalam pertembungan Kumpulan F, hari ini, berbanding anggapan sebelum ini bahawa penyandang juara mudah memusnahkan lawan yang kini berada di ranking ke-78 dunia.

Andai berpandu kepada rekod Piala Dunia, skuad dari Oceania itu hanya membuat satu kemunculan sahaja sebelum edisi ini iaitu pada 1882 dan tewas dalam semua tiga perlawanan manakala Itali adalah kuasa dominasi apabila muncul juara empat kali.

Azzurri juga memenangi kejuaraan lebih daripada pasukan Eropah lain dan hanya satu gelaran kurang di belakang Brazil. Dalam ranking dunia Itali berada pada kedudukan tempat kelima manakala New Zealand, 78.

Itali seri 1-1 ketika menentang Paraguay dalam perlawanan pembukaan Isnin lalu tetapi pengurus pasukan, Marcelo Lippi tetap tenang.

“Dalam Piala Dunia anda harus ada keyakinan diri dan bertindak bijak pada setiap perlawanan. Saya belum pernah melihat satu pasukan bermula 100 peratus dan mengekalkan prestasi itu untuk tujuh perlawanan,” katanya.

Penjaga gol Itali yang masih cetek pengalaman, Federico Marchetti, dijangka beraksi, hari ini berikutan kecederaan belakang yang dialami Gianluigi Buffon, menambahkan lagi kegoyahan benteng pertahanan seperti yang disaksikan ketika menentang Paraguay.

“Kami tahu mereka adalah pasukan yang mempunyai fizikal mantap dan bagus di udara,” kata Marchetti yang sedar dia perlu mengawal bentengnya andai Itali mahu mengelak daripada dipalit aib.

***

KEKALAHAN mungkin tidak pernah bermain dalam fikiran Itali.

Namun New Zealand tetap berazam untuk mengejutkan Itali apabila kedua-dua pasukan itu berentap pada aksi Kumpulan F malam ini.

Atas kertas, Itali yang dilabel antara gergasi Eropah setelah menjuarai empat edisi Piala Dunia, dianggap sebagai pilihan untuk menewaskan pasukan kerdil dari Oceania itu.

Kedua-dua pasukan itu memulakan kempen Kumpulan F dengan keputusan seri 1-1.

The Azzurri yang tampil sebagai penyandang juara pada kempen di Afrika Selatan, terpaksa memerlukan jaringan penyamaan Daniele De Rossi ketika menentang Paraguay pada Isnin lalu.

New Zealand pula meraikan kejayaan mengutip mata pertama mereka dalam kempen Piala Dunia hasil jaringan penyamaan ketika menentang Slovakia.

Pertembungan Itali yang berada pada ranking kelima dunia dengan skuad Kiwi yang menduduki ranking ke-78 dunia itu mungkin tidak seimbang.

Bagaimanapun, Itali tidak boleh terlalu yakin kerana mereka pernah dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Korea Utara pada Piala Dunia 1966.

Pada kempen Piala Dunia 2002, Itali sekali lagi dimalukan apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

“New Zealand memiliki pemain yang mempunyai fizikal besar, jadi kami tidak akan bermain hantaran tinggi. Tetapi kami adalah Itali dan kami harus memenangi perlawanan ini.

“Gagal melepasi peringkat kumpulan ini dan juga di peringkat kedua nanti mungkin menjadi satu kegagalan yang besar bagi kami,” kata De Rossi.

Bagi New Zealand pula, mereka sudah pasti akan menggunakan kelebihan fizikal bagi menjerat Itali sambil berazam untuk memalukan reputasi The Azzurri dalam Piala Dunia.

“Kami adalah sebuah pasukan yang kental dan itulah kelebihan yang telah kami gunakan selama ini,” kata pemain pertahanan New Zealand, Ben Sigmund.

“Kami adalah pasukan Kiwi dan akan terus berbangga dengan identiti kami.

“Itulah kekuatan dan kelebihan kami. Saya rasa ramai pasukan lain yang sudah mula takut kepada kami.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!