Chile pilihan atasi Honduras
June 16, 2010 by admin
TUMPUAN utama bagi pertembungan Chile dan Honduras pada aksi Kumpulan H malam ini pastinya terarah kepada masalah kecederaan penyerang kedua-dua pasukan yang berkongsi nama Suazo.
Penyerang Chile, Humberto Suazo merupakan penjaring terbanyak pasukan itu pada pusingan kelayakan dengan 10 gol tetapi dia mengalami kecederaan paha kanan dua minggu lalu.
Pada mulanya pemain Zaragoza itu dikatakan perlu berehat selama tiga minggu tetapi proses pemulihan berjalan dengan baik dan jurulatih Chile, Marcelo Bielsa berkata, Suazo sudah boleh diturunkan pada aksi sulung itu.
Bagi Honduras pula, penyerang mereka, David Suazo yang beraksi untuk Genoa turut mengalami kecederaan paha tetapi tidak dapat dipastikan dia akan pulih sepenuhnya menjelang pertembungan malam ini.
Di sebalik masalah kecederaan tersebut, Chile dilihat sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan di Stadium Mbombela itu selepas menamatkan saingan kelayakan hanya satu mata di belakang Brazil.
Pemain pertahanan Chile, Gonzalo Jara yang beraksi bersama West Brom berkata, kunci kejayaan mereka adalah dengan memastikan para pemain beraksi pada kekuatan yang dimiliki mereka.
“Kami tahu Honduras memiliki pemain yang mampu mengubah perlawanan dan mereka juga sebuah pasukan yang cukup kuat dari segi fizikal.
“Tetapi saya rasa, apa yang paling penting ialah kami juga perlu mempamerkan kemampuan sebenar sepanjang perlawanan itu kelak,” kata Jara.
Dengan dua perlawanan selepas ini bertemu Switzerland pada 21 Jun dan Sepanyol pada 25 Jun, Chile memerlukan keputusan positif pada pertembungan dengan Honduras ini bagi menghidupkan peluang ke pusingan kedua.
Kali terakhir Chile mencatat kemenangan pada pusingan akhir Piala Dunia ialah ketika menewaskan Yugoslavia untuk menduduki tempat ketiga sewaktu mereka menjadi tuan rumah pada 1962.
Manakala Honduras pula tidak pernah memenangi sebarang perlawanan ketika membuat kemunculan tunggal mereka pada pusingan akhir Piala Dunia sebelum ini iaitu pada 1982.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!