Prebiu: Slovenia vs England
June 23, 2010 by admin
ENGLAND mungkin memiliki kelebihan daripada segi kemampuan pemain, namun jurulatih Slovenia, Matjaz Kek percaya, kelebihan psikologi milik pasukannya apabila berdepan skuad Three Lios itu dalam pertemuan terakhir Kumpulan C, hari ini.
Anak-anak buah Fabio Capello dalam situasi mesti menang, atau berdepan ‘bencana’ andai kalah dan tersingkir awal di Piala Dunia.
Malah, beberapa hari sebelum pertemuan dengan Slovenia, mereka berdepan krisis dalaman pasukan, yang menyaksikan bekas kapten, John Terry mengetuai pemberontakan yang menuntut Capello menukar pemain dan taktik permainan.
Kek mengakui, keadaan itu meletakkan Capello dan pemainnya di bawah tekanan luar biasa, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukannya untuk beraksi dengan lebih tenang.
Bagaimanapun Kek tidak lari daripada berdepan masalahnya sendiri, apabila sesi latihan Slovenia semalam dikunjungi pemerhati dari England yang menjalankan intipan.
“Keadaan sangat sukar buat England dan saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kami juga ada masalah sendiri, tetapi ia tiada kaitan dengan soal kerjasama pemain.
“Capello kini merasai tekanan yang sangat luar biasa, saya tidak boleh bayangkan hidup tertekan sepertinya. England berdepan situasi mesti menang,” kata Kek.
Menurut Kek lagi, sebelum kejohanan bermula, ramai yang beranggapan pertemuan England-Slovenia tidak ubah seperti perlawanan pertunjukan, namun kini ia bertukar menjadi satu perlawanan yang amat penting
“Orang ramai menjangkakan Port Elizabeth (lokasi perlawanan) sekadar destinasi pelancongan, malah saya lihat tidak ramai wartawan yang berada di sini kerana mengandaikan tiada apa-apa yang terlalu penting akan berlaku.
“Tetapi hari ini, bilik media dipenuhi ramai wartawan, semuanya ingin melihat satu perlawanan penting yang akan menentukan hidup mati England pada Piala Dunia,” ujarnya lagi.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!