Prebiu: England vs Algeria
June 18, 2010 by admin
ENGLAND berdepan Algeria awal pagi esok dengan persoalan mampukah mereka menewaskan wakil Afrika utara itu untuk mengukuhkan saingan dalam Kumpulan C.
Jika skuad bimbingan Fabio Capello itu menyimpan hasrat melangkah jauh lebih dari peringkat suku akhir yang biasa dilakukan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menewaskan Algeria yang kecundang 1-0 kepada Slovenia dalam perlawanan pertama.
England tidak pernah tewas kepada mana-mana wakil Afrika, namun pengurusnya mesti membalas persoalan yang membelenggu pasukan itu dan mencari jalan untuk memastikan barisan serangan mampu menjaringkan gol.
Ketika juara kumpulan kemungkinan bakal ditentukan menerusi perbezaan gol dan pasukan kedua akan bertemu Jerman di pusingan kedua, England perlu merakam kemenangan besar untuk mereka mendapat laluan mudah dalam saingan 16 pasukan terakhir dengan Ghana, Serbia atau Australia.
England yang membuat permulaan hambar seperti mana pasukan handalan lain apabila sekadar seri 1-1 dengan Amerika Syarikat (AS) yang menampilkan corak permainan lebih kemas, tidak dianggap terlalu buruk.
Biarpun kritikan Franz Beckenbauer yang mendakwa England “kembali seperti zaman dulu dengan permainan tendang dan lari” tampak kasar, pengurus dari Itali, Capello perlu mengubah kembali corak permainan pasukannya seperti yang dilakukan ketika mereka melepasi pusingan kelayakan.
Selepas kehilangan kapten Rio Ferdinand yang dilanda kecederaan, situasi semakin sukar buat England yang kini terpaksa menyisihkan pengganti Ferdinand, Ledley King bagi perlawanan awal pagi esok dan kemungkinan juga kejohanan ini. Pemain pertahanan Liverpool Jamie Carragher akan mengisi kekosongan itu.
Dia masuk menggantikan King pada babak pertama menentang AS dan berjaya mengawal benteng dengan terjahan keras namun tidak memiliki kepantasan untuk membentuk gandingan bersama bekas kapten England John Terry.
Di belakang mereka, Capello dilihat masih menaruh kepercayaan kepada Robert Green yang melakukan kesilapan ‘bodoh’ untuk menghadiahkan Clint Dempsey gol penyamaan AS namun selain itu David James juga boleh menggalas tugas sebagai penjaga gawang England.
Bagaimanapun berita menggembirakan buat Capello apabila beliau boleh memanggil semula pemain kegemarannya Gareth Barry bagi mengisi posisi tengah untuk membolehkan Steven Gerrard melancarkan serangan dari bahagian kiri.
England juga berdepan masalah di bahagian serangan apabila pemain berbakat Wayne Rooney gagal menjaringkan gol di peringkat antarabangsa sejak September lalu manakala Emile Heskey hanya merekod tujuh gol dari 59 perlawanan.
Peter Crouch yang beraksi selaku pemain gantian menentang AS berkata, Capello menitikberatkan pendekatan yang positif.
“Beliau memberitahu kami, aksi perlawanan pertama memberangsangkan dan beliau memberitahu supaya kami percaya kepada diri kami sendiri serta apa yang kami lakukan,” kata penyerang tinggi lampai yang tampil di peringkat antarabangsa dengan menyumbat 21 gol dari 39 perlawanan.”
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!