Prebiu: Brazil vs Chile
June 28, 2010 by admin
BRAZIL dan Chile masing-masing tidak mempunyai banyak perkara untuk disembunyikan apabila keduanya bertemu di pusingan kedua Piala Dunia, awal pagi esok.
Dua buah negara Amerika Selatan itu seringkali bertemu sesama sendiri, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, masing-masing sudah tahu apa yang boleh dijangkakan mengenai lawan mereka apabila keduanya beraksi di Stadium Ellis Park nanti.
Pada pertemuan sebelum ini, Brazil dilihat menguasai lawannya itu dan kali ini, pasukan Samba tersebut pasti mahu melakukannya bagi melangkah lebih jauh.
Meskipun begitu, pasukan juara dunia lima kali itu bakal menghadapi laluan sengit kerana pasukan Chile dilihat begitu bersemangat selepas berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Ia merupakan kali pertama Chile melangkah ke pusingan tersebut setelah melakukannya di tanah air sendiri pada Piala Dunia 1962.
Sehubungan itu, Brazil pastinya tahu bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah pada pertembungan menentang Chile.
“Kami kini berada pada satu peringkat yang tempoh 90 minit akan menjadi penentu. Sebarang kesilapan adalah tidak dibenarkan berlaku atau ia akan menyebabkan kamu pulang awal.
“Chile telah menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka. Pasukan tersebut mempunyai barisan pemain yang bagus.
“Mereka pastinya akan memberi tentangan sengit kepada kami bagi melangkah ke pusingan seterusnya,” kata jurulatih Brazil, Dunga.
Dibimbing oleh jurulatih dari Argentina, Marcelo Bielsa, Chile menunjukkan persembahan baik di saingan peringkat Kumpulan H apabila berjaya menundukkan Honduras dan Switzerland.
Chile bagaimanapun sekadar menduduki tempat kedua kumpulan apabila tunduk 1-2 kepada pasukan juara Eropah, Sepanyol.
Pada pertemuan menentang Sepanyol, Chile bermain dengan 10 orang setelah seorang pemainnya dikenakan tindakan buang padang pada separuh masa pertama.
“Chile akan menghormati keupayaan Brazil. Meskipun begitu, kami akan bermain dengan corak permainan kami sendiri.
“Pasukan ini pastinya akan memberi tekanan kepada Brazil dan melancarkan serangan dari semua sudut,” kata pemain tengah Chile, Arturo Vidal.
*****
JIKA diimbas rekod perlawanan antara kedua-dua pasukan Amerika Latin ini, Chile mungkin tertanya-tanya sama ada pertemuannya dengan Brazil hari ini, akan menjadi sesuatu yang bernilai kepadanya.
Chile mempunyai rekod buruk menentang Brazil sejak lima tahun lalu dengan tewas tujuh kali dan dibolosi 26 gol.
Mereka turut tewas dalam dua pertembungan di Piala Dunia iaitu pada 1962 di peringkat suku akhir ketika menjadi tuan rumah dan pada 1998 di pusingan kedua.
Jurulatih Marcelo Bielsa bagaimanapun telah membawa perubahan kepada skuad itu sejak membimbingnya tiga tahun lalu.
Bielsa telah mengubah skuad ini daripada antara pasukan terburuk di benua Amerika Latin kepada skuad terbaik, tetapi beliau sedar ia adalah satu cabaran besar untuk menentang juara lima kali, Brazil.
“Atas kejayaan skuad itu pada masa lalu, ia mengecualikan mereka menerima sebarang kritikan.
“Mereka selalu menjadi pasukan yang digeruni dan disanjungi kerana mempunyai corak permainan pantas dan tanpa belas kasihan,” kata Bielsa.
Chile tewas 0-1 kepada Brazil di peringkat kumpulan dalam kejohanan Copa Amerika 2004 dan dibelasah 0-5 dalam kelayakan Piala Dunia tahun berikutnya.
Dua tahun kemudian, Chile kalah 0-4 dalam perlawanan persahabatan dan dibelasah dua kali dalam kejohanan Copa Amerika 0-3 di peringkat kumpulan dan 1-6 pada peringkat suku akhir.
Prestasi memalukan selepas itu mengundang peletakan jawatan jurulatih Nelson Acosta yang digantikan oleh Bielsa.
Walaupun jurulatih baru itu berjaya membawa perubahan besar, beliau tetap gagal memberi motivasi kepada anak buahnya untuk menewaskan Brazil.
Taktik serangan pantas tetapi agak terdedah menyebabkan Chile menjadi mangsa Brazil yang mempunyai kekuatan fizikal.
Selain itu, Chile akan bermain tanpa dua pemain pertahanan utama mereka Gary Medel dan Waldo Ponce yang digantung perlawanan.
Bielsa juga perlu memutuskan sama ada akan menurunkan Humberto Suazo yang bergelut dengan kecederaan di barisan hadapan atau mengekalkan Jorge Valdivia yang bermain ketika Chile tewas 1-2 ka atas Sepanyol.
Felipe Melo, yang tidak pasti akan diturunkan, bukan masalah kepada pasukan Dunga kerana dia mempunyai banyak pemain tengah.
Elano juga akan diturunkan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!