Prebiu: Belanda vs Brazil

July 2, 2010 by  

KELEBIHAN dalam semua aspek telah membantu kemaraan Brazil dan Belanda ke suku akhir Piala Dunia 2010, tanpa mengambil kira tradisi atau tanggapan ramai.

Kini, kedua-duanya akan bertemu sesama sendiri untuk menuju ke perlawanan akhir.

“Kami tahu bahawa Belanda adalah sebuah pasukan yang sangat sukar untuk dikalahkan. Rentak permainan mereka begitu menyamai corak bola sepak Amerika Selatan.

“Mereka tidak akan berusaha untuk kekal bertahan dan banyak bergantung kepada bola-bola hantaran jauh.

“Mereka mempunyai kualiti dari segi teknikal dan kami harus bersedia untuk perkara tersebut. Mereka adalah sebuah pasukan yang mantap,” kata jurulatih Brazil, Dunga.

Tiga pertemuan kedua-dua pasukan tersebut pada Piala Dunia sebelum ini, berakhir dengan skuad yang menang mara ke perlawanan akhir.

Pemenang peringkat suku akhir antara kedua pasukan tersebut di Afrika Selatan hari ini, akan berdepan sama ada Uruguay atau Ghana di separuh akhir.

Setakat ini, Belanda mencatat kemenangan dalam semua perlawanan di Afrika Selatan.

Persembahan Belanda pada kejohanan kali ini dilihat berbeza dengan persembahan mereka pada era sebelum ini.

Pemain-pemain skuad Oranje di Afrika Selatan, mempunyai keperibadian tersendiri dan kemahiran yang mengagumkan.

Belanda, yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Dunia sebanyak dua kali, dilihat berjaya mengatasi pergeseran kecil dalam skuad tersebut, apabila menundukkan Slovakia 2-1 pada pusingan 16 pasukan terbaik.

Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yakin bahawa semua perselisihan faham dalam skuad itu telah diselesaikan.

Bagi juara lima kali, Brazil dianggap sebuah pasukan pilihan untuk bergelar juara Piala Dunia 2010, setelah beraksi mantap di peringkat kumpulan dan pusingan kedua.

Brazil berjaya menundukkan Korea Utara dan Ivory Coast di peringkat kumpulan, sebelum sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Portugal.

Namun, pasukan Samba itu kembali menemui sentuhan jaringan, apabila menang 3-0 ke atas Chile di pusingan kedua.

Kem latihan Brazil kini kehilangan Elano, yang menjaringkan gol pada dua perlawanan pertama.

Brazil tidak dapat menggunakan khidmatnya apabila doktor pasukan, Jose Luis Runco menyatakan dia mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan.

*****

Kaka merupakan salah seorang pemain yang harus mengelak daripada dilayangkan kad kuning dalam pertemuan peringkat suku akhir apabila pasukannya, Brazil menentang Belanda, hari ini.

Jika tidak, perancang Real Madrid itu menyertai Luis Fabiano, Juan dan Felipe Melo dalam pasukan Brazil, yang berpotensi untuk terlepas perlawanan separuh akhir menentang Ghana atau Uruguay, seandainya memenangi pertemuan hari ini.

Kaka sebelum ini sudah digantung perlawanan ketika pertemuan terakhir kumpulan menentang Portugal, selepas diperintah keluar padang apabila mengutip dua kad kuning semasa mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Ivory Coast.

Belanda berada dalam kedudukan lebih bahaya dari Brazil, kerana tujuh daripada pemainnya juga berpotensi untuk terlepas aksi separuh akhir, jika mereka memenangi perlawanan tersebut.

Perlawanan hari ini akan diadili oleh pengadil dari Jepun, Yuichi Nishimura, yang merupakan pengadil pertama yang melayangkan kad merah di Piala Dunia 2010 kepada pemain tengah Uruguay, Nicolas Lodeiro, selepas dia melakukan dua kekasaran.

Nishimura turut bertugas ketika Sepanyol menang 2-0 ke atas Honduras dan menghadiahkan Sepanyol sepakan penalti, selepas Emilio Izaguirre menjatuhkan Jesus Navas di dalam kotak penalti, namun ia gagal disempurnakan David Villa.

Brazil bakal beraksi tanpa kelibat bintang Benfica, Ramires yang terlepas aksi suku akhir kerana mengumpul dua dua kad kuning.

Arjen Robben, turut tersenarai selepas membantu Belanda menewaskan Slovakia 2-1 dalam perlawanan 16 pasukan terakhir dan Robin van Persie juga berada dalam kalangan kumpulan pemain Belanda yang berharap untuk tidak akan mendatangkan kemarahan pengadil di Port Elizabeth nanti.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!