Profil Pasukan: Belanda
June 8, 2010 by admin
SKUAD berbakat Belanda, akan memulakan aksi sebagai pasukan pilihan dalam saingan sukar Kumpulan E, manakala Jepun, Cameroon dan Denmark bersaing untuk kedudukan naib juara.
Mereka melalui saingan kelayakan dengan bergaya, apabila tidak keciciran walau satu mata.
Jurulatih Bert van Marwijk gembira dengan keputusan undian yang bakal menyemarakkan skuadnya, yang sarat dengan pemain bintang.
Ramai yang menjangkakan sesuatu yang besar bakal dicatatkan oleh skuad Oranje, yang ketika ini di tangga keempat di belakang Brazil, Sepanyol dan Portugal dalam ranking FIFA.
Namun Van Marwijk sama sekali tidak memandang mudah.
”Ramai yang menjangkakan kami akan ke pusingan kedua tanpa banyak masalah. Namun, lawan kami tidak seharusnya dipandang rendah,” kata jurulatih itu yang menggantikan Marco van Basten selepas Euro 2008.
Belanda akan membuat kemunculan kesembilan pada Piala Dunia 2010. Naib juara pada 1974 dan 1978 kejohanan, merupakan pencapaian terbaik mereka setakat ini.
Dengan para pemain seperti Arjen Robben, Dirk Kuyt, Mark van Bommel dan Robin van Persie di bahagian serangan, tekanan dirasai untuk mereka menjulang trofi, walaupun mereka agak rapuh di bahagian pertahanan.
Mereka harus berhati-hati dengan Denmark, yang menamatkan saingan kelayakan mengatasi Portugal, Sweden dan Hungary. Jepun pula begitu bersemangat untuk ke pusingan kedua.
Jika Belanda muncul juara kumpulan, lawan mereka pada pusingan berikutnya adalah naib juara Kumpulan H.
Itali dijangka akan muncul juara kumpulan, manakala Slovakia, Paraguay dan New Zealand, berentap untuk tempat kedua kumpulan.
Pemain muda Arsenal, Nicklas Bendtner merupakan bintang Denmark, manakala pemain lain seperti Jon Dahl Tomasson, Dennis Rommedahl dan Michael Silberbauer amat dihormati. Bendtner percaya Denmark bakal mencuri tumpuan.
”Adalah penting untuk kami terus realistik. Sudah tentu kami akan Afrika Selatan dengan hasrat untuk menang, namun kami tidak memiliki keupayaan seperti negara lain.
”Kami akan mencuba yang terbaik. Denmark telah mencatat banyak kejutan dalam sejarah bola sepak, jadi mengapa tidak sekali lagi?” katanya.
Tiada pasukan Afrika yang memiliki jurulatih berpengalaman pada Piala Dunia, seperti Paul Le Guen yang akan mengetuai Cameroon.
Kemunculan Le Guen di Afrika Selatan merupakan rekod, apabila tampil buat kali keenam buat skuad dari negara Afrika.
Dari segi fizikal, Cameroon agak menggerunkan dan bakal mendapat sokongan penonton tuan rumah.
Mereka juga memiliki Pemain Terbaik Afrika tiga kali, Samuel Eto’o, yang menjadi musuh ketat pemain Ivory Coast, Didier Drogba.
Jepun merupakan juara Asia tiga kali dan membawa harapan ke kejohanan kali ini bersama bekas pemain tonggak Celtic, Shunsuke Nakamura. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN BELANDA)
[...] Belanda [...]