Prebiu: Greece vs Argentina

June 22, 2010 by  

SEBELAH kakinya sudah melangkah ke pusingan kedua sekalipun kalah atau seri, namun semangat Argentina belum kendur apabila menentang Greece dalam perlawanan terakhir Kumpulan B awal pagi esok kerana mereka mahukan kemenangan hatrik.

Selepas mengalahkan Nigeria 1-0 dalam aksi pembukaan, disusuli dengan menundukkan Korea Selatan 4-1, skuad bimbingan jurulatih kontroversi, Diego Maradona itu mahu mencari kemenangan ketiga.

Biarpun dijangka merehatkan sebahagian besar tonggak utama, Argentina tetap turun sebagai pilihan untuk meranapkan impian juara Eropah 2004, Greece.

“Kami gembira dengan pencapaian sehingga ini. Dua perlawanan dengan dua kemenangan dan bagaimana cara kami memperoleh keputusan-keputusan tersebut.

“Tetapi kami mahu mengharungi kejohanan ini dengan sempurna, justeru kami turun untuk menang apabila menentang Greece. Kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah,” kata Maradona.

Greece mungkin memerlukan bantuan daripada Nigeria jika skuad kebangsaan itu ingin melangkah jauh.

Jika Korea Selatan berjaya mengalahkan Nigeria dalam satu lagi perlawanan, maka Greece perlu menang dengan jumlah gol yang besar untuk menghuni tangga kedua kumpulan.

Sebaliknya, jika Nigeria berjaya menumbangkan Korea, maka mereka memerlukan kemenangan atau keputusan seri untuk layak.

Pasukan kebangsaan Nigeria akan menentang Korea Selatan di Durban dalam satu pertembungan serentak dengan perlawanan Greece dengan Argentina.

“Apa yang pasti, pasukan ini mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dan boleh melaksanakannya di atas padang,” kata pemain pertahanan Greece, Sokratis Papastathopoulos.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!