Prebiu: Argentina vs Mexico

June 27, 2010 by  

MEXICO berpeluang membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Argentina pada Piala Dunia 2006, apabila kedua-dua pasukan bertembung bagi merebut tiket ke suku akhir awal pagi esok.

”Ada satu duri yang telah menyebabkan kelukaan pada pasukan ini empat tahun lepas dan saya harap dapat mencabut duri itu pada perlawanan nanti,” kata pemain tengah Rafael Marquez.

Namun, cabaran itu seakan menggerunkan kerana semua pasukan semahunya mahu mengelak daripada bertembung Argentina.

Pasukan yang mempunyai penyerang hebat seperti Lionel Messi, Gonzalo Higuain dan Carlos Tevez, pastinya memerlukan Mexico untuk mengawal perlawanan dengan sepenuh tenaga.

Argentina dijangka meletakkan Maxi Rodriguez sebagai pemain tengah pada perlawanan, esok dan mengharapkan pemain itu untuk mengulangi jaringan golnya yang menakjubkan pada tahun 2006 ketika menewaskan Mexico.

”Saya sangat gembira kali ini dapat bertemu lagi dengan Mexico. Apa yang berlaku dalam perlawanan terdahulu adalah sejarah pada hari ini. Perkara penting sekali adalah kami perlu menang dengan cemerlang,” katanya.

Dua pasukan itu pernah bertemu sebanyak 25 kali dan Mexico hanya memperoleh kemenangan sebanyak empat kali sahaja.

Sementara itu, Argentina yang tidak pernah kalah dalam kumpulannya, mengharapkan pasukan lawan yang dibimbing Javier Aguirre memperkukuh bahagian pertahanan pasukan itu serta tidak mengambil terlalu banyak risiko.

”Aguirre adalah jurulatih yang bijak, saya tidak rasa mereka akan melakukan serangan, mereka sentiasa tunggu untuk menyerang kami di bahagian tengah,” kata Maxi.

Pemain sayap Liverpool itu menjangkakan bermain, esok di Soccer City setelah dipilih oleh Maradona untuk mengikuti sesi latihan kelmarin.

”Kami harus menunggu sehingga Diego menamakan pemain yang akan bermain, tetapi jika dia memilih saya pastinya saya akan mempamerkan aksi terbaik,” kata Maxi.

Antara yang dijangka diturunkan ialah pemain tengah belakang, Walter Samuel.

Dalam pada itu, penyerang Arsenal, Carlos Vela akan kembali bermain untuk Mexico selepas pulih daripada kecederaan dan bakal beraksi bersama rakan sepasukannya Giovanni Dos Santos.

”Kami kini lebih baik daripada tahun 2006 kerana pada waktu itu tidak ramai pemain yang bermain di Eropah. Argentina mempunyai pemain yang hebat seperti Messi dan itu membuatkan pasukan itu sempurna. Namun, kami akan cuba mengubah segalanya,” kata Marquez.

Pemenang pada perlawanan hari ini bakal bertemu dengan England atau Jerman dalam peringkat suku akhir.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!