Prebiu: Amerika Syarikat vs Ghana
June 26, 2010 by admin
JURULATIH, Bob Bradley dan anak- anak buahnya berhajat mahu membalas dendam terhadap Ghana, awal pagi esok sekali gus melayakkan diri ke saingan suku akhir.
Selepas menjuarai Kumpulan C dengan mengalahkan Algeria 1-0 di Pretoria, Rabu lalu, Amerika Syarikat berharap dapat menewaskan pasukan yang setakat ini merupakan wakil tunggal benua Afrika ke pusingan kedua.
AS pernah mara ke suku akhir pada 2002, namun tewas 0-1 kepada Jerman dan pada 1930, mereka berjaya melangkah ke separuh akhir tetapi pasukan yang terkenal dengan gelaran Uncle Sam itu dibelasah 6-1 oleh Argentina.
Namun, kekecewaan tumpas 1-2 kepada Ghana di Nuremburg, empat tahun lalu, masih belum dapat dilupakan dan kali ini, AS telah bersiap sedia untuk bertemu Black Stars di Stadium Royal Bafokeng.
Beberapa pemain yang berada dalam skuad Bradley antaranya Oguchi Onyewu, Steve Cherundolo, Clint Dempsey, DaMarcus Beasley dan Donovan disenaraikan dalam kesebelasan utama sewaktu menentang Ghana pada 2006.
Pertemuan kali ini membuka peluang kepada anak-anak buahnya untuk memadam memori pahit setelah tewas dalam perlawanan kontroversi menerusi sepakan penalti.
”Kami akan bertemu Ghana dan ia seperti perlawanan ulangan pada 2006. Jadi, ini merupakan peluang terbaik kami. Kami pernah menyaksikan Ghana bermain sebelum ini dan mereka merupakan pasukan berbakat
”Mereka amat tangkas. Kami perlu mempamerkan mutu permainan yang mantap dan berdisiplin kerana sekali lagi ingin saya tegaskan mereka merupakan pasukan yang berbakat besar,” kata Bradley.
Pasukan bimbingan Bradley itu turut menerima suntikan semangat apabila akan kembali ke Rustenburg di mana gelanggang yang menyaksikan mereka mengikat England dengan keputusan seri 1-1, pada 12 Jun lalu.
”Satu perkara yang amat istimewa bagi kami hari ini (Rabu) ialah sewaktu bas kami menuju ke stadium - sepanjang laluan kami lihat penyokong Amerika Syarikat berada di pinggir jalan.
”Mereka mengibarkan bendera, malah memakai baju berwarna merah, putih dan biru dengan wajah mereka dilukis. Kami berasakan seolah-oleh mendapat satu suntikan semangat. Ia sesuatu yang istimewa,” katanya.
Sokongan padu yang diterima oleh skuad AS sememangnya sudah dijangka tetapi tidak dilupa, Ghana turut mendapat sorakan apabila jurulatih, Milovan Rajevac menyeru warga Afrika supaya memberikan sokongan kepada pasukan mereka.
Ghana berjaya ke pusingan 16 pasukan berdasarkan perbezaan jaringan yang menyebelahi mereka, sungguh pun tumpas kepada Jerman, Rabu lalu.
”Untuk layak ke pusingan seterusnya amat penting buat kami dan juga Afrika. Saya berasa sangat emosi dan berharap kami akan mendapat sokongan padu daripada warga Afrika Selatan dan juga benua Afrika keseluruhannya,” kata jurulatih berbangsa Serbia itu.
Rajevac perlu mencari formula untuk menajamkan jentera serangan mereka jika berhajat untuk mengulangi kejayaan, empat tahun lalu. Mereka hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan - yang mana kedua-duanya dihasilkan menerusi sepakan penalti oleh Asamoah Gyan.
Amerika Syarikat yang turut beraksi di Piala Konfederasi tahun lepas, lebih berpeluang menjaringkan gol setelah meledakkan empat jaringan dengan dua jaringan dilakukan hasil gol lewat yang menyaksikan mereka mengikat Slovenia dengan keputusan seri dan menang ke atas Algeria.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!