Kesilapan penjaga gol hukum Algeria
June 14, 2010 by admin
KESILAPAN mudah penjaga gol Algeria, Faouzi Chaouchi menghadiahkan Slovenia kemenangan tipis 1-0 pada aksi Kumpulan C malam tadi.
Kecuaian Chaouchi ketika menangkap rembatan kapten Slovenia, Robert Koren membolehkan bola bergolek masuk ke dalam gawang Algeria pada minit ke-79.
Algeria sebelum itu terpaksa beraksi 10 pemain selepas Abdelkader Ghezzal dilayangkan kad merah pada minit ke-73 kerana sengaja menahan bola menggunakan tangan selepas baru 15 minit dia dimasukkan.
Ia merupakan kemenangan sulung Slovenia dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia selepas mereka menamatkan saingan dengan tewas ketiga-tiga perlawanan kumpulan pada penampilan sulung pada Piala Dunia 2002.
Slovenia kini mendahului Kumpulan C dengan tiga mata di hadapan England dan Amerika Syarikat yang memungut satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi awal pagi semalam.
Pada awal babak permainan, Algeria dilihat lebih baik berbanding Slovenia dengan Hassan Yebda berjaya menguasai bahagian tengah.
Mereka mencipta beberapa peluang terbaik termasuk pada minit ketiga apabila sepakan percuma Nadir Belhadj hampir saja disudahkan oleh Samir Handanovic tetapi bola sedikit melepasi palang.
Slovenia pula turut memperoleh peluang pada penghujung separuh masa pertama tetapi percubaan kaki kiri Valter Birsa berjaya diselamatkan dengan baik oleh Chaouchi.
Kedua-dua pasukan jelas menghadapi kesukaran untuk mengawal bola rasmi Piala Dunia 2010, Jabulani yang kelihatan mudah melantun sekali gus menyukarkan hantaran bola yang baik ke arah rakan sepasukan.
Kegagalan England mengutip mata penuh pada aksi awal pagi semalam turut disebabkan kesilapan penjaga gol apabila Robert Green menghadiahkan gol penyamaan buat Amerika Syarikat.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!