Saya tidak suka publisiti – Tengku Abdullah

Pemilihan Presiden FAM 2014

Menjelang pemilihan Presiden FAM 25 Mei 2014

“SAYA tidak perlu muncul di kaca televisyen (TV) semata-mata untuk mencari publisiti. Saya lebih gemar mengambil sikap merendah diri.”

Demikian tegas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelang Kongres ke-50 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 25 Mei ini di Hotel Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Titah Tengku Abdullah yang akan bertanding jawatan Presiden FAM, baginda lebih gemar mengambil pendekatan di belakang tabir berbanding menonjolkan diri seperti mana-mana calon yang bakal bertanding dalam Kongres FAM yang berlangsung Ahad ini.

Kelmarin, salah seorang calon Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil dalam sebuah rancangan televisyen terbitan Astro Arena, ‘Dengan Izin’.

Dalam sesi wawancara lebih kurang sejam itu, Tunku Ismail telah mendedahkan visi dan misi untuk FAM jika dia diberi kepercayaan untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Antara janji yang terkandung dalam manifesto Tunku Ismail ialah baginda bersedia menawarkan RM2 juta atau RM3 juta kepada setiap persatuan negeri dan mahu mewujudkan sektor pengadil profesional di Liga Malaysia (Liga M).

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah bertitah, baginda lebih berminat untuk memberikan sumbangan kepada bola sepak negara dengan cara yang lebih profesional dan bukannya dengan menjanjikan wang ringgit.

“Saya tidak sempat tengok (rancangan ‘Dengan Izin’) tetapi saya sudah baca akhbar pagi tadi (semalam). Saya tidak perlu muncul di kaca televisyen. Saya tidak perlu mencari publisiti seperti itu.

“Jawatan (Presiden FAM) bukan mengenai saya (tetapi) ia adalah mengenai bola sepak negara, skuad kebangsaan dan pembangunan bola sepak negara.

“Sama seperti hoki, saya tidak perlu muncul di kaca televisyen. Ini kerana sifat saya memang begitu,” titah baginda pada sidang akhbar di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Dalam perkembangan sama, Tengku Abdullah masih mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ dan enggan mendedahkan visi dan misinya jika dilantik sebagai Presiden FAM yang baharu untuk penggal 2014-2018.

Ketika ditanya mengenai manifesto untuk perubahan dalam FAM, Tengku Abdullah juga enggan mendedahkannya dan bertitah: “Alhamdulillah, dia (Tunku Ismail) mempunyai visi dan misi tersendiri dan saya masih belum kemukakan apa perancangan saya.

“Jadi, terpulang kepada ahli-ahli gabungan untuk membuat penilaian. Saya tidak komen tentang kenyataan yang dibuat (oleh Tunku Ismail).

“Kalau saya cerita sekarang (visi dan misi), tiada kejutanlah, elok simpan dulu.

“Saya mesti ada visi dan misi. Jika tidak, tiada makna saya cuba nasib bertanding jawatan Presiden dalam FAM, tetapi percayalah, saya juga akan membuat perubahan,” titah baginda lagi.

Dalam Kongres FAM ke-50 akan datang, Tengku Abdullah yang menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM ketika ini, bakal bertanding merebut jawatan Presiden bersama-sama penyandang, Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail.

Tengku Abdullah ketika ini mendapat pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan tersebut dengan 12 pencalonan diikuti Sultan Ahmad Shah (lima) dan Tunku Ismail (tiga).

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

2 Responses to Saya tidak suka publisiti – Tengku Abdullah

  1. CikguSukaMainBola

    Peminat & penokong bola pun tak mahu yg suka publisiti tapi setiap calon wajar umum & bentangkan visinya dgn jelas utk dinilai. Kalau tiada visi, ada publisiti pun tak guna.

    • BETUL3X..perancangan awal kena ada, dan peminat kena tau jgk..Kelantan bersatu dgn Johor hapuskan FAM..bebaskan TSAM..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>