Kontrak Rajagobal tidak disambung, kontrak Ong Kim Swee dilanjut

Rajagobal dan Ong Kim Swee

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tamat 31 Dis ini.

Keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini, Ahad.

Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal berkata jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) Datuk Ong Kim Swee akan menggantikan Rajagobal sebagai pengendali sementara selepas Sukan SEA Myanmar, bulan depan.

Rajagobal dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya pada 2009.

“Untuk menaikkan lagi tahap sukan bola sepak negara, adalah perlu untuk kita memberikan peluang kepada jurulatih lain yang boleh memberikan sumbangan lebih hebat kepada negara,” kata Subahan pada sidang media selepas mesyuarat itu.

“Saya yakin dengan pengalaman beliau bersama FAM sebelum ini dapat membimbing beberapa pasukan lain di luar sana. FAM ingin merakamkan penghargaan kepada Rajagobal atas sumbangannya terjadap negara selama ini,” katanya.

Subahan berkata FAM sedang menyenarai pendek beberapa calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Rajagobal.

“Kalau mengambil masa yang lama (untuk melantik jurulatih baharu), maka Kim Swee bertanggungjawab untuk membimbing skuad Harimau Malaya pada perlawanan terakhir (kelayakan Piala Asia 2015) menentang Yaman pada Mac depan.

“Kita bagaimanapun masih berharap dapat mencari pengganti Rajagobal selewat-lewatnya sebelum aksi menentang Yaman nanti,” katanya.

Antara pencapaian terbaik Rajagobal ialah membantu skuad B-23 negara menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos selain membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010.

FAM sebelum ini meletakkan petunjuk prestasi utama kepada Rajagobal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia namun ia gagal dicapai oleh jurulatih berusia 57 tahun itu selepas Malaysia sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan D kelayakan dengan empat mata.

Dalam pada itu, Subahan mengesahkan bahawa FAM bersetuju untuk menyambung kontrak Kim Swee yang tamat pada 31 Dis ini, namun beliau enggan mendedahkan tempoh kontrak berkenaan.

Kim Swee yang membimbing skuad muda negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia sebelum ini dilaporkan mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Myanmar untuk membimbing skuad kebangsaan negara berkenaan.

– BERNAMA




coded by nessus

3 Responses to Kontrak Rajagobal tidak disambung, kontrak Ong Kim Swee dilanjut

  1. Sy mahu rehat daaaa…
    _KingGobal_

  2. Gopal ni pok turut jah ko kakah2 hok duk alik atah nuh, toklih nok ngato sgt ko dio nih. selagi pok2 tu hok pege FAM, mari la coach turun kot langit pun, x gi mano pun HM, supo tulo jah…

  3. ganti sesiapa pun prestasi tetap sama selagi yang diatas tu masih org sama. hmmm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>