Dollah tagih kudrat ‘orang lama’

Malaysia vs Vietnam AFF Cup 2014

Vietnam vs Malaysia | Separuh Akhir 2 | Piala AFF 2014

Kehadiran tiga pemain senior Amri Yahyah, Shukor Adan dan Indra Putra Mahyuddin di dalam kesebelasan utama menjelang separuh akhir kedua Piala AFF 2014 dijangka akan memberikan kelainan terhadap aksi Harimau Malaya di Stadium Nasional My Dinh malam ini.

Pengalaman ketiga-tiga ‘orang lama’ ini pasti akan di­tagih oleh pengendali Dollah Salleh untuk membimbing pemain-pemain lain bagi menghadapi gemuruh sorakan puluhan ribu penyokong Vietnam.

Shukor yang akan kembali memakai lilitan ketua pasukan pada perlawanan malam ini berkata dia tidak berasa terbeban dengan harapan Dollah kerana yakin pemain lain sedar akan peranan ma­sing-masing.

“Saya faham harapan yang diletakkan oleh jurulatih namun saya fikir semua pemain telah matang untuk menangani situasi ini.

“Masih ramai pemain yang membarisi skuad Piala AFF 2010 dan pengalaman itu sedikit sebanyak akan membantu mereka dalam berdepan Vietnam di tempat lawan,” katanya yang ditemui semasa sesi latihan di padang berhampiran Stadium Nasional My Dinh semalam.

Pada perlawanan malam ini, Indra difahamkan akan mengepalai jentera serangan manakala Amri mengisi posisi sayap kiri sementara Shukor kembali ke benteng pertahanan bersama Mohd Fadhli Shas.

Doa Shukor untuk perlawanan hari ini hanya satu iaitu mereka mampu melakarkan kejutan ke atas Vietnam sambil mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia.

“Sekiranya kami menang ke atas Vietnam, ini akan menjadi hadiah paling istimewa kepada negara.

“Kami bermain bukan kerana diri sendiri tetapi demi menjaga maruah negara tercinta.

“Diiringi doa ahli keluarga dan rakyat Malaysia, misi ini bukan sesuatu yang mustahil untuk kami jayakan,” katanya.

Sementara itu Dollah masih optimis skuad bimbingannya mampu membuat kejutan malam ini pada aksi timbal balik.

Sekalipun mengakui kemenangan di Stadium My Dinh bukanlah tugas mudah, ia tidak mustahil dan Dollah bersedia melakukan apa saja bagi memastikan Harimau Malaya mara termasuk membuat keputusan yang boleh dianggap berisiko.

“Sudah tentu ia tidak mudah namun apa saja boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya.

“Sudah tentu kita akan cuba sesuatu bagi membolehkan pasukan mampu beraksi di tahap terbaik. Ia adalah mengenai bagaimana kami bermain dan bukan siapa yang bermain,” kata Dollah ketika mengulas barisan yang bakal diturunkan, malam ini.

Pada 2010, Malaysia mara ke final selepas menewaskan Vietnam 2-0 secara agregat namun dibantu kemenangan di laman sendiri – sesuatu yang gagal dilakukan pada edisi kali ini.

“Sudah tentu kami akan memberikan keringat 200 peratus. Apa yang penting semua pemain memberikan yang terbaik dan kami memiliki disiplin taktikal. Pemain perlu mengikutinya,” katanya dipetik dalam laman web www.affsuzukicup.com.

Ketika aksi peringkat kumpulan, Malaysia yang memerlukan kemenangan ke atas Singapura untuk mara ke separuh akhir, melunaskan janji dengan membenam tuan rumah yang juga penyandang juara itu dengan keputusan 3-1.

Bagi Dollah, kejayaan dan semangat yang sama diharap mampu dijelmakan anak buahnya malam ini.

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

One Response to Dollah tagih kudrat ‘orang lama’

  1. tak nak letak harapan tinggi, cukup la kalau dapat enjoy the game

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>