Irfan Ghani letak jawatan sebagai pemain T-Team

Irfan Ghani letak jawatan nafi insiden terowong jdt vs t-team

Irfan Ghani, pemain pertahanan T-Team yang mencetus kontroversi dalam insiden gaduh terowong Stadium Larkin 1 Februari lepas dilaporkan telah meletak jawatan sebagai pemain pasukan kelab dari Terengganu itu.

Pihak pengurusan T-Team yang belum membuat keputusan bentuk tindakan ke atas Irfan mengesahkan menerima surat berdaftar dari bekas pemain JDT itu yang memohon letak jawatan sebagai pemain bolasepak kelab tersebut.

Irfan yang berasal dari Johor dilabel sebagai pengkhianat pasukan selepas membuat sidang media menafikan insiden tumbuk dalam terowong selepas aksi babak pertama saingan Piala FA antara JDT dan T-Team.

Irfan berkata, sewaktu di bilik persalinan beliau tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari pegawai tertinggi JDT.

“Hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih pasukan (T-Team) Azlan Johar membuat keputusan agar kami menghentikan permainan dan balik,” katanya kepada pemberita pada sidang media tersebut.

Menurutnya, Azlan berkata jika mereka meneruskan permainan dan menang sekalipun, mereka takkan dapat balik ke Terengganu.

Keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T-Team dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.

Katanya keputusan untuk tidak meneruskan permainan bukan dibuat ketua jurulatih Azraai Khor sambil menafikan beliau membuat kenyataan itu kerana membuat perjanjian dengan JDT.

“Tidak, saya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak JDT. Saya lakukan ini kerana tidak mahu terlibat dalam pembohongan,” katanya yang sanggup menerima apa jua tindakan termasuk dibuang daripada pasukan kerana menganggap beliau menegakkan kebenaran.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasan pasukan itu kemudiannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Ketua jurulatih JDT Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan.

Susulan insiden berkenaan pasukan JDT diberikan kemenangan 3-0 oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang pada Khamis, sekali gus layak ke suku akhir Piala FA.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan keputusan itu berkata, JKPT membuat rumusan berdasarkan laporan dan soal siasat membabitkan komisioner perlawanan, pegawai penyelaras, pengadil dan pegawai kedua-dua pasukan.

Jelasnya, alasan T-Team menarik diri atas faktor keselamatan dengan apa yang berlaku ketika menuju bilik persalinan tidak boleh diterima kerana pegawai perlawanan yang terdiri daripada komisioner perlawanan atau jurulatih memutuskan permainan masih selamat untuk dijalankan.

Walaupun begitu, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor itu bernasib baik apabila JKPT tidak berhasrat mengenakan denda selain hanya mengenakan amaran keras supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang.

“Setelah mengambil keterangan semua pihak, mengikut peraturan Liga Malaysia 2013-2016, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) berpuas hati untuk memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT dan layak ke suku akhir Piala FA berdasarkan perkara 4.12.15b iaitu menarik diri dan gagal bermain.

T-Team tunai janji sumpah al-Quran

pemain t-team sumpah quran insiden gaduh dalam terowong larkin dengan jdt

SEORANG pegawai dan pemain pasukan T-Team mengotakan janji mengangkat sumpah al-Quran berhubung insiden kekecohan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

Pada majlis itu yang diadakan malam tadi, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar mengetuai upacara mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sambil disaksikan Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Seorang pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali yang juga rakan serumah Mohamad Irfan Abd. Ghani turut melakukan perkara sama.

Sebelum ini, Irfan yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) mencetuskan kontroversi apabila mendakwa tiada sebarang kekecohan berlaku di dalam terowong menujuk ke bilik persalinan pemain.

Azlan dan Khairan Ezuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk pada bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat Irfan tidak kelihatan sepanjang majlis tersebut yang diadakan di Hotel Tabung Haji (TH) Terengganu malam tadi.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.

“Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang dibuat itu benar sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja mengada-adakan cerita mengenai kejadian (yang berlaku).

“Jika mereka (pemain dan pegawai Johor DT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting, kita buat perkara yang sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mencabar Irfan supaya tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sanggup beli tiket flight untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah,” katanya. — Kosmo

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

5 Responses to Irfan Ghani letak jawatan sebagai pemain T-Team

  1. aiii takkan blah macam tu je :)

    • Boleh blah mcmtu je lau takda minat atau masalah bila dah hantar surat rasmi, tapi maybe kena tindakan atau kena pampasan gantirugi ke ape.

  2. Orang Johor bai…
    Pergi stadium trw siap bawa komando bersenjata
    Pergi stadium tok gajah Pakai topeng macam komando
    Main tempat dia gaduh
    Main tempat orang pun dia gaduh
    Main hoki kalah pukul penjaga gol lawan
    Main bola tak yah la citer
    Dia orang ni main tomoi/gusti/tinju/karate je sesuai
    Atau pun masuk maharaja lawak
    Jep sepah
    Ajak dan Shahrul shiro kan orang Johor

    Eh… Aku pun orang Johor

    LUASKAN TEROWONG MU

  3. irfan sudah kena beli?
    takut hilang negeri?
    download tongku beribu-ribu download

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>