FAM nafi pilih bulu isu pertukaran tarikh perlawanan

Datuk Seri Afandi Hamzah Pengerusi JKPT FAM

Tiada sebarang unsur pilih kasih atau berat sebelah dalam isu penundaan perlawanan sebaliknya semua pasukan telah diadili berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penegasan itu dinyatakan oleh Pengerusi JKPT FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang menyatakan, sebelum meluluskan atau menolak permintaan mana-mana pasukan untuk meminda tarikh perlawanan, terdapat beberapa perkara perlu diteliti termasuk alasan yang kuat serta persetujuan daripada semua pasukan yang terbabit dengan perlawanan berkenaan.

Jelasnya, terdapat perbezaan ketara antara kes Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Pahang walaupun asas permintaan kedua-dua pasukan untuk meminda tarikh perlawanan masing-masing adalah sama iaitu terlibat dengan Piala AFC.

FAM telah menolak tuntutan JDT sebaliknya meluluskan permohonan Pahang, membuatkan Pre­siden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berasakan pihaknya telah dilayan secara tidak adil oleh FAM.

TMJ letak jawatan Penasihat FAM

“Bagi permohonan pertama JDT, mereka mahu mendapat jarak sekurang-kurangnya selama empat hari sebelum berdepan East Bengal dalam Piala AFC pada 24 Februari dengan meminda perlawanan berdepan Selangor, iaitu diawalkan satu hari dari 21 Februari ke 20 Februari.
Advertisement

“Satu lagi permohonan adalah mereka mahu perlawanan dengan Sarawak di Stadium Negeri dian­jakkan dari 7 Mac ke 6 Mac, asasnya tetap sama iaitu mahu mendapat rehat selama empat hari sebelum mereka terbang ke Singapura bertemu Balestier Khalsa dalam aksi kedua Piala AFC.

“Namun, FAM tidak nampak sebarang kewajaran untuk me­nunda perlawanan kerana rehat selama tiga hari dilihat bersesuaian, namun sebagai mengikuti cara SOP yang baharu, kami tetap akan mengambil pandangan daripada dua pasukan yang terbabit dalam pindaan jadual perlawanan ini.

“Jadi, FAM telah membuka ruang kepada Selangor serta Sarawak menyatakan pendirian mereka tetapi kedua-dua pasukan enggan menukar tarikh perlawanan yang telah ditetapkan atas alasan tertentu maka FAM tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menolak permintaan JDT,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagi pasukan Pahang, Afandi menjelaskan terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan iaitu skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu hanya akan tiba dari Mandalay, Myan­mar ke Kuantan pada 27 Februari, kurang 48 jam sebelum menentang JDT dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.

Biarpun secara dasarnya JDT tidak menyatakan persetujuan agar perlawanan itu ditangguhkan dari 1 Mac ke 2 Mac, FAM melihat alasan penangguhan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) itu terlalu kuat selain mengemukakan bukti-bukti bertulis seperti tiket penerbangan dan ketiadaan penerbangan terus dari Mandalay ke Kuala Lumpur.

“Pahang telah cuba sedaya upaya mendapatkan tiket penerbangan lebih awal, iaitu sebaik sahaja aksi dengan kelab Yanadarbon berakhir pada 25 Februari namun hanya 27 Februari sahaja tarikh paling awal mereka boleh tiba di tanah air.

“Itupun, mereka terpaksa tiga kali transit iaitu dari Mandalay ke Bangkok, Thailand sebelum ke Kuala Lumpur dan yang terakhir ke Kuantan, jadi FAM terpaksa menggunakan budi bicara dalam soal ini dan menerima permohonan Pahang.

“Diharapkan penjelasan ini dapat menjawab segala persoalan mengapa permohonan JDT ditolak sementara Pahang diterima. Sesungguhnya tiada amalan pilih kasih seperti mana didakwa dan kami bekerja mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

– Utusan

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

One Response to FAM nafi pilih bulu isu pertukaran tarikh perlawanan

  1. Saya cadangkan agar liga super malaysia dapat buat live ke salah satu negara di Asia spt ke Jepun. Kerana kita juga ada mengambil siaran live dari negaranya. Lain kata pertukaran live di antara dua negara. Pertukaran live dicadangkan 1 kali seminggu. Bermula tahun 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>