Sepanyol seimbang, Portugal harap magis Ronaldo

Spanyol vs Portugal EURO 2012 Separuh Akhir
Spanyol vs Portugal – Separuh Akhir EURO 2012

APAKAH perbezaan antara skuad Sepanyol dengan Portugal menjelang meniti cabaran peringkat separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena, Donetsk, awal pagi esok?

Sepanyol, selaku juara bertahan, hanya lebih memikirkan bagaimana hendak membataskan ruang ancaman Cristiano Ronaldo sepanjang debaran 90 minit permainan.

Ini berbeza dengan Portugal yang harus mempunyai sumber kemampuan memberi perhatian kepada kesebelasan utama Sepanyol.

Sebagaimana Ronaldo menjadi wira kemenangan Portugal ke atas Belanda 2-1 dalam pusingan Kumpulan B dan kemudian mengatasi Republik Czech 1-0 dalam peringkat suku akhir, kapten Portugal itu akan terus menjadi tunggak kekuatan pasukannya apabila bertempur dengan Sepanyol nanti.

Team Spanyol vs Portugal EURO 2012

Ini berbeza daripada Sepanyol.

Juara bertahan itu bertaburan dengan pemain-pemain yang berkualiti. Lebih menarik lagi, kekuatan Sepanyol paling menonjol terletak pada jalinan persefahaman permainannya.

Sebaliknya, Portugal tidak mampu kehilangan Ronaldo lebih-lebih lagi jika beliau mengalami kecederaan dalam pertemuan ini.

Kini, yang menjadi pertanyaan ialah pasukan manakah yang akan meneruskan langkah perjuangan ke final Euro 2012 ini?

Benar, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Sepanyol boleh menang. Sepanyol juga boleh kecundang. Portugal boleh kalah. Portugal juga boleh menang.

Realitinya ialah Sepanyol menjadi pilihan tetapi kenapa?

Pertama, memang benar Portugal pernah membelasah Sepanyol 4-0 pada 18 November 2010. Tetapi itu adalah perlawanan pertunjukan. Lebih tepat lagi, perlawanan amal beberapa bulan selepas Sepanyol muncul sebagai juara Piala Dunia 2010.

Bagaimana pula dalam pertandingan kompetitif?

Sepanyol menewaskan Portugal 1-0 dalam pusingan kedua Piala Dunia 2010 – pertarungan yang turut menyaksikan Ronaldo ‘dikunci’ sepanjang perlawanan tersebut.

Ertinya, dalam pertemuan kompetitif terakhir kededua pasukan ini, Sepanyol yang menyerlah.

Kedua, kita meninjau semula apa yang berlaku dalam Euro 2012 ini.

Sepanyol vs Portugal EURO 2012

Selepas empat perlawanan, Portugal hanya menyumbatkan enam gol sementara penjaga gawangnya, Rui Patricio, dibolosi empat kali.

Ini berbeza daripada Sepanyol yang telah menyumbatkan lapan gol dan penjaga gawangnya, Iker Casillas, diperdayakan hanya sekali – itupun dalam perlawanan pembukaan semasa seri 1-1 dengan Italy.

Ketiga, empat pemain Sepanyol yang akan membentuk kesebelasan utama adalah pemain-pemain Real Madrid.

Casillas, Sergio Ramos, Xabi Alonso dan Alvaro Arbeloa bukan sahaja tahu kelebihan dan kekurangan Ronaldo, malah bagaimana dapat membendung kapten Portugal itu.

Ini belum lagi Gerard Pique, pemain tengah Barcelona, yang akan berganding tenaga dengan Ramos.

Keempat, kekuatan Sepanyol bukan sahaja tertumpu pada kesebelasan utamanya, malah juga para pemain di bangku pemain simpanan.

Sebagai contoh, Sepanyol mempunyai tiga pemain penyerang yang berkualiti – Fernando Torres, Fernando Llorente dan Alvaro Negredo – yang boleh dikerahkan pada bila- bila masa.

Ini berbeza daripada Portugal yang kekuatannya lebih terletak kepada kesebelasan utamanya. Kini, Portugal menghadapi masalah apabila pemain penyerangnya, Helder Postiga, diganggu masalah kecederaan.

Kelima dan yang terpenting, Sepanyol beraksi dengan enam pemain midfield. Ini bererti dengan Xavi dan Andreas Iniesta sebagai dua penggerak utamanya, Sepanyol akan sentiasa menguasai rentak permainan.

Selalunya, pasukan yang mengawal rentak permainan akan menang. Terbaru, Sepanyol membuktikannya ke atas Perancis.

Nampak-nampaknya, kini giliran Portugal pula menjadi mangsanya. — Cyberita

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>